KUCHING: Projek Lebuh Raya Pan Borneo menunjukkan perkembangan positif apabila mencapai kemajuan sebanyak 86.54 peratus setakat 24 Ogos lalu.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat beberapa seksyen yang akan dibuka tahun ini dengan tiga seksyen dijangka siap tahun depan.
Beliau berkata, kesemua seksyen itu akan disiapkan tahun hadapan berikutan mengalami ppermasalahan di tapak yang memerlukan penelitian.
"Ia termasuk perkara yang perlu direka bentuk semula disebabkan keadaan muka bumi dan sebagainya.
“Tiga seksyen tersebut di Sarikei iaitu Bukit Begunan kerana ada keruntuhan tanah, jadi kita terpaksa reka semula pelan di sana. Manakala, satu di kawasan Sibuti di Miri dan satu lagi di Lambir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Libat Urus Menteri Kerja Raya Bersama Media Sarawak di Hotel Waterfront di sini, malam Sabtu.
Projek yang bernilai RM16.1 bilion itu dilancarkan Mac 2015.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Jelajah Keluarga Malaysia peringkat Sarawak pada 7 Ogos lalu berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 yang menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei merupakan salah satu projek keutamaan Kementerian Kerja Raya (KKR).
Katanya, ia disebabkan SSLR adalah jalan perhubungan utama yang perlu dibuka untuk Limbang dan Lawas disebabkan pengguna di kawasan itu tidak mempunyai akses ke kawasan lain apabila Brunei menutup sempadannya.
Justeru, beliau berharap agar pelaksanaan projek SSLR Fasa 2 dapat dimuktamadkan lantikan kontraktor selewat-lewatnya awal tahun depan, supaya pembinaan projek itu dapat dilaksanakan segera.
Begitu juga projek Lebuh Raya Trans-Borneo (LTB) yang merupakan missing link dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei, katanya.
"Kita harap projek ini dapat dimuktamadkan penghujung tahun ini dan kerja-kerja pembinaannya dapat dimulakan tahun hadapan,” katanya.
Fadillah turut memaklumkan, KKR kini sedang melaksanakan empat projek di Sarawak berjumlah RM1.636 bilion.
Kesemua projek tersebut ialah pembinaan jejambat Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu, naik taraf Laluan 8108 Jalan Datuk Musa sehingga ke Bulatan G3 Kota Samarahan, pembinaan jalan masuk ke selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan fasa pertama SSLR dari Lawas sehingga ke Long Lopeng.
Sumber dari : Jiwa Bakti